1. Masa kini, teknologi bergerak begitu pantas. Paling ketara dalam bidang elektronik iaitu barangan komputer dan telefon bimbit. Disamping itu, teknologi kereta, teknologi kapal terbang, teknologi ketenteraan dan teknologi maritim juga menunjukkan kemajuan. Kemajuan yang pantas tidak terjangkau oleh pengguna dan penyelenggara. Kesempatan ini telah mendorong pengeluar barangan dalam bidang tersebut meraih pendapatan yang besar. Ini kerana pengeluar dapat mengawal pendapatan dari menjual barang dan menyelenggara barang dan menghasilkan semula barang baru dengan jenama baru. Proses ini menjadi satu pusingan yang lengkap yang menyerupai konsep monopoli. Tidak hairan pada akhir tahun, untung pengeluar barangan ini mencecah berbilion-bilion.
2. Saya berpendapat untuk memintas atau bersaing dalam pergerakan pantas teknologi ini ialah dengan cara memberi penumpuan kepada penyelidikan dan pembangunan. Sesebuah negara perlu mempunyai teknologi sendiri dalam bidang-bidang yang bergerak pantas ini. Teknologi sendiri dapat menjana pendapatan dan dapat membendung kerajaan dan rakyat berbelanja besar dalam perolehan barangan dan pembaziran dalam penyelenggaraan barangan yang dibeli yang sentiasa tinggi disebabkan rakyat tempatan tidak pandai menyelenggara peralatan dan barangan yang dibeli itu. Sebaliknya jika barangan dikeluarkan oleh rakyat tempatan sudah tentu masalah penyelenggaraan, perolehan, mampu milik dan harga barang dapat dikawal dengan sebaiknya.