Terfikirkah anda untuk membuat bumbung motosikal. Barangkali kita sering melihat penunggang motosikal menggelabah mencari tempat berlindung bila tiba-tiba hujan turun. Mereka mencari jejambat, jambatan dan apa saja yang boleh, asalkan dapat berteduh. Ada juga yang menggelabah mencari baju hujan dan kadang kala ada yang memakai payung, sudah tentu merbahaya. Bagi membantu mereka, sering telintas di hati kecil saya untuk membuat rekabentuk bumbung motosikal. Idea untuk bumbung motosikal kerana perihatin melihat penunggang-penunggang motor yang basah mengharungi hujan di kala perjalanan.
Motor berbumbung menjadi menarik jika rekabentuknya kemas. Bagi memastikan bentuk kemas dan menarik, rekabentuk hendaklah bersesuaian dengan zaman. Tema rekabentuk yang betul dan berciri menarik sudah tentu menjadi gilaan kaki motor. Justeru, usaha yang bersungguh-sungguh dalam rekabentuk hendaklah dibuat bagi memastikan produk yang kemas, cantik, berkualiti dan murah.
Sebelum mangambil langkah lanjut, kajian menyeluruh perlu dibuat agar segala usaha, tenaga dan wang ringgit tidak menjadi sia-sia. Kajian produk, rekabentuk, keselamatan dan kajian pasaran amat penting untuk menentukan untung rugi produk.
Sebelum ini terdapat usaha membina motosikal berbumbung. Bagaimanapun usaha tersebut gagal mendapat tempat dihati kaki-kaki motor. Mungkin kegagalan berpunca dari kos yang mahal dan rekabentuk yang tidak menarik.
Usaha hendaklah diteruskan kerana di luar sana masih ada yang berhasrat untuk memiliki motosikal berbumbung. Bagi mereka yang berpendapatan rendah, motosikal adalah kenderaan utama mereka untuk ke tempat kerja. Kos harga minyak yang semakin meningkat menjadikan motosikal pilihan golongan ini untuk ke tempat kerja. Segala usaha yang dibuat sememangnya untuk membantu mereka yang kurang kemampuan. Usaha ini sedikit sebanyak akan dapat membantu menangani masalah kesempitan hidup.