Anda seorang jurutera, anda seorang ketua jurutera, anda seorang penyelia, anda seorang ketua organisasi? Walau apa pun posisi anda dan jika anda terlibat dengan jurutera, adakah anda memikirkan pembangunan kerjaya kepada seorang jurutera. Jika anda terfikir untuk membangunkan kerjaya seorang jurutera, maka apakah model yang akan anda ikuti. Lebih penting lagi jika anda memang seorang jurutera, apakah batuan perjalanan (milestone) anda yang perlu anda ikuti.
Apa yang mesti kita semua fikirkan? Pertama kerja yang betul diberi kepada jurutera. Kedua, bagaimana hendak mengekalkan kerjaya jurutera. Ketiga, memperakukan penglibatan jurutera dalam masyarakat dan keempat mengekalkan kepentingan jurutera dalam pembangunan masyarakat dan negara.
Jurutera juga tidak boleh mengharapkan kepada orang lain untuk pembangunan diri sendiri. Jika mereka sedar akan kecepatan perubahan sekeliling, maka wajar jurutera itu sendiri untuk mempertingkatkan diri dan bersaing di dunia yang mencabar ini. Kena tanya kepada diri sendiri, apakah yang wajib aku lakukan untuk berterusan kompeten? Pada dasarnya tidak sukar kepada jurutera untuk menyesuaikan diri berdasarkan kepada latihan dan pembelajaran yang diperolehi untuk menjadi seorang jurutera. Minimum kredit pembelajaran yang diperolehi tidak kurang dari 135 kredit. Menyamai 4 tahun pembelajaran di universiti. Pada yang kurang menyerlah menjangkau hingga 6 tahun pembelajaran di universiti. Belum kira lagi berapa ratus tugasan dan peperiksaan yang mereka perlu lalui. Sudah tentu pengalaman pembelajaran di Fakulti Kejuruteraan menjadikan seorang jurutera itu lasak di pasaran.
Kita tidak akan membincangkan permasalahan yang perlu di atasi. Penulisan kali ini sekadar mengemukakan model yang boleh dipertimbangkan oleh jurutera itu sendiri bagi menentukan kejayaan mereka dalam kehidupan. Disamping itu kejayaan jurutera amat penting untuk penyumbangan berkesan kepada pembangunan negara yang lebih makmur dan dihormati. Dalam pengamatan kita, menunjukkan penguasaan teknologi menjadi benteng pertama dalam pelbagai sektor seperti sektor pertahanan, kemakmuran ekonomi dan kelangsungan aktiviti. Sebut sahaja apa bidang yang anda ceburi sudah tentu memerlukan teknologi.
Kepada jurutera muda, model yang boleh diikuti adalah seperti berikut:
Pertama, menjadi prantis dengan berguru kepada pembimbing daripada jurutera lama yang telah berpengalaman dalam hal-hal kejuruteraan. Ia boleh dilakukan kepada satu atau ramai pembimbing. Kedua, mula menonjolkan diri dengan melaksanakan kerja sendiri tanpa bimbingan. Sudah tentu pada peringkat ini seorang jurutera telah berpengalaman dan telah memiliki skil-skil yang diperlukan. Skil yang mereka ada dapat digunakan kepada pelaksanaan kerja kejuruteraan yang lebih berjaya. Pada peringkat ini jurutera telah boleh menyumbang kepada masyarakat dan negara dengan lebih berkesan. Ketiga, Jurutera pada peringkat tiga sudah boleh menjadi pembimbing kepada jurutera prantis. Jurutera yang telah boleh menyumbang dengan berkesan setelah melepasi tahap kedua akan menjadi pembimbing yang berkesan pula kepada jurutera prantis. Keempat, peringkat memberi halatuju kepada organisasi. Kepada hala tuju projek. Kepada halatuju kaedah untuk mencapai kejayaan. Samada kejayaan projek atau organisasi yang diterajui. Pada peringkat ini, kebiasaan seorang jurutera berkenaan sudah ada nama, hasil kegigihan beliau dalam peringkat satu hingga ke peringkat 3.
Apa yang dinyatakan dalam langkah-langkah yang dinyatakan dalam model di atas, mudah dinyatakan tapi amat berat untuk dilaksanakan kerana untuk membina jurutera yang berskil tinggi dan mempraktiskan skil yang ada amat sukar. Di ibaratkan dalam 10, atau 100 malah mungkin 1000 jurutera hanya satu atau dua sahaja yang mungkin boleh menurut model berkenaan.
Ini kerana apa? Sudah tentu sebagai manusia biasa, jurutera juga banyak memerhatikan risiko-risiko sekeliling dalam kerjaya mereka. Sudah tentu pemilihan kepada yang kurang berisiko menjadi keutamaan kepada mereka.
Bagaimanapun suka dipesan kepada jurutera budiman, bahawa semua risiko boleh di kuasai jika ada perancangan yang teliti. Sesuai dengan perkatan dalam bahasa Inggeris ini ''no pain no gain''.
Kepada jurutera di luar sana, berdasarkan model, tidak kira sama ada anda sedang dalam peringkat satu, dua, tiga atau empat disarankan teruskan usaha anda dengan harapan anda semua berjaya.
No comments:
Post a Comment