Wednesday, 12 August 2015

Perancangan pekahwinan yang meriah dan teratur

Kebelakangan ini, untuk mengadakan majlis perkahwinan menjadi mimpi yang ngeri  kepada setiap ibu-bapa dan  pasangan. Kengerian disebabkan beberapa persoalam antaranya seperti persoalan makan cukup atau tidak, bagaimanakah keadaan cuaca, berapa ramai kehadiran tetamu, gembirakah mereka, aturcara majlis tersusun atau tidak, kejadian-kejadian yang tidak menyenangkan seperti pinggan pecah, nasi mantah dan sebagainya pasti berlegar-legar di kepala tuan kenduri.

Seperkara lagi ialah jika sekiranya majlis tidak dirancangkan dan disusun dengan betul maka sudah pasti ia akan menelan belanja yang besar. Namun perbelanjaan yang besar bukanlah menjadi tiket atau penentu kepada kepuasan atau kemeriahan. Malah dalam banyak keadaan, perbelanjaan yang berpatutan tetapi dengan perancangan yang betul telah memberikan majlis yang meriah dan mendapat kepuasan kepada semua terutama pihak pengantin dan sekelian tetamu yang hadir.

Setelah majlis dapat berjalan dengan lancar maka segala mimpi ngeri akan bertukar kepada mimpi yang sangat indah. Tidak dapat dinafikan lagi bahawa perkara terpenting yang perlu diberi perhatian adalah dengan memastikan perancangan dengan membuat perbincangan secara bersama di antara pengantin, ibu-bapa dan saudara mara yang terlibat.

Perbincangan yang penting yang perlu diberi perhatian adalah menetapkan tema majlis. Tema yang betul boleh mempengaruhi kemeriahan dan juga memberi kesan kepada bajet majlis. Ia melibatkan warna pelamin agar menambah keceriaan, warna baju pengantin agar kelihatan lebih bergaya dan anggun, warna khemah, alas meja dan hiasan-hiasan yang boleh menyerlahkan lagi kecerian majlis. Tema juga boleh memberi kesan kepada menu sajian, mainan kugiran dan celoteh juruacara. Kaum kerabat yang dekat boleh diberi maklum awal agar memberi masa kepada mereka untuk sama-sama memberi fokus kepada tema majlis.

Langkah seterusnya adalah menentukan bilangan tetamu yang akan dijemput. Tentukan bilangan tetamu sehampir tepat yang mungkin kerana ia akan melibatkan perbelanjaan makanan. Perbelanjaan pada makanan kepada setiap tetamu merupakan jumlah yang besar dan utama kepada majlis.

Selain bilangan yang tepat, siapa yang hadir juga hendaklah diberi perhatian seperti kaum keluarga, ipar duai, rakan sekerja, rakan sekolah, rakan media sosial, bos tempat kerja dan sebagainya.

Penetapan siapakah tetamu utama dalam majlis juga perlu diberi perhatian. Soalan seperti adakah memerlukan tetamu utama, penetapan siapa yang akan menepung tawar, siapa yang akan dijemput untuk makan bersama dengan pengantin hendaklah ditetapkan terlebih awal agar tiada kelam kabut semasa beralangsung perjalanan majlis.

Kegembiraan tetamu yang hadir hendaklah diutamakan dengan memberi layanan yang istimewa terhadap semua tetamu secara saksama. Semua perkara hendaklah dihalusi dan dimurnikan kerana semuanya penting bagi menentukan kemeriahan majlis disamping menentukan majlis berjalan dengan lancar dan teratur.

Seterusnya adalah menempah makanan dan khemah hendaklah dibuat awal. Menu hendaklah disusun dengan rapi dan setiap hidangan hendaklah mendapat persetujuan ahli keluarga terdekat. Penempahan awal makanan dan khemah penting kerana kedua-dua perkara ini merupakan perkara pokok, dan jangan lupa katering makanan dan penyewa khemah akan menjadi rebutan pada hari-hari puncak atau hari-hari kesukaan ramai seperti hari cuti sekolah atau hari cuti panjang dan hari-hari yang jatuh pada tarikh kesukaan seperti 12. 12. 2012 dan sebagainya.

Penempahan khemah dan makanan menjadi mudah apabila bilangan tetamu telah pasti. Kemeriahan berganda jika dekorasi khemah, pelamin,kerusi meja serta ahli keluarga selari dengan tema yang telah diputuskan. 

Juga tidak kurang penting dalam memastikan penentuan aturcara majlis yang hendak diatur. Aturcara majlis memainkan peranan yang amat penting bermula dari perancangan, raptai ataupun pada majlis hari sebenar.

Jika pengacara yang dilantik dapat memainkan peranan yang betul akan menambahkan lagi kelancaran dan kemeriahan majlis. Justeru, pemilihan juruacara amat penting bagi menentukan kelancaran dan kemeriahan majlis.

Kelancaran majlis dan kepuasan tetamu juga amat bergantung kepada penyambut tetamu. Penyambut tetamu dapat menyejukkan hati tetamu dengan menampilkan kehadiran mereka amat dihargai.

Ini juga dapat menentukan metod hidangan. Adakah metod makan berhidang atau layan diri, Dari pengamatan didapati konsep makan berhidang lebih memberi kepuasan tetamu tetapi memerlukan kakitangan yang ramai.

Walupun kakitagan yang ramai diperlukan bagi kaedah berhidang, diamati makanan tidak membazir. Keceriaan tetamu dan kepuasan mereka menghadiri majlis dapat diutamakan. Konsep ini juga dapat memberi ruang kepada tuan rumah untuk memberi tumpuan sepenuhnyan kepada para tetamu yang hadir.

Pada hari majlis tidak dapat dinafikan lagi bahawa tetamu pada hari itu adalah 'King'. Layanan yang seistimewa mungkin hendaklah diberi keutamaan,

Walaubagaimanapun perancangan teliti  telah diatur, kerisauan dan fobia tuan rumah masih sukar untuk dihilangkan sepenuhnya. Bagaimanapun ia telah dapat dikurangkan.

Faktor kerisauan berlaku adalah kerana kaum melayu amat menghormati tetamu.  Ini menjadikan kerisauan sebelum dan semasa majlis pekahwinan  berlangsung mungkin tidak dapat dielakkan. Wallahu'alam.

No comments:

Post a Comment

Abrasive Machining and Finishing Operations Abrasive Machining

  Abrasive machining is one of the best methods for producing accuracy and fine finishing on parts. An abrasive machine used high technology...